CRUISE TASIK PUTRAJAYA MEMINANG PUTERI GUNONG LEDANG
- KUMPULAN A


Setelah kejayaan mendaki Gunong Nuang pada bulan pertengahan Mei, 2005, pendakian diteruskan untuk menakluki Gunong Ledang. Aktiviti dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab Sukan Cruise Tasik Putrajaya yang telah berpecah kepada dua [2] kumpulan agar operasi pelayaran Cruise Tasik Putrajaya kepada perkhidmatan awam tidak terjejas langsung.

Kumpulan A yang diketuai oleh saya sendiri turut disertai oleh Hamid, Ramli, Razlan, Wan, Hamdan, Saiful, Zamri, Jaya dan Shikin [satu-satunya ‘bunga’ dalam kumpulan ini]
Perjalanan bermula pada jam 8.30 pagi Jun, 2006 dengan diiringi doa selamat daripada Dataran Putrajaya.

Tiga buah kenderaan terus menyusuri Lebuhraya Utara Selatan dan singgah untuk sarapan di R&R Seremban. Perjalanan diteruskan mengikut susur keluar Tangkak dan menuju Gunong Ledang Resort, Sagil. Persinggahan di Tangkak untuk mendapat bekalan-bekalan mentah terakhir untuk makan malam nanti. Tangkak sememangnya terkenal dengan kain-kain ela dan kain langsir.

Tiba di Gunong Ledang Resort pada jam 1.00 tengahari dan persiapan urusan pendaftaran dilakukan di Pejabat Rangers sebelum ke Base Camp Kolam Puteri.

Pendakian 584 anak tangga amatlah memenatkan, tambahan pula membawa barangan perkemahan dan makanan mentah, namun pendakian diteruskan juga berbekalkan semangat setiakawan sesama sendiri dan selamat sampai di Base Camp pada jam 1.45 tengahari.

Ketibaan kami disambut oleh hujan renyai-renyai dan deruan air terjun yang seolah-olah menggamit kami.Perancangan agihan tugas terus dilakukan serta merta dalam pendirian kemah, mencari kayu api dan persiapan memasak. Masing-masing telah sedia maklum akan tugas setiap individu berbekalkan pengalaman pendakian Gunong Nuang dahulu.

Masakan pada petang itu merupakan makan tengahari bermenukan ikan pari masak asam disediakan oleh ‘chef’ Razlan.Sedang makanan disiapkan, kebanyakan peserta terus tidak putus-putus menggunakan setiap masa yang terluang dengan mandi manda dalam air yang telah sedia maklum sejuknya.

Suasana malam amat sejuk bertemankan bunyian cengkerik dan deruan air terjun membuat semua kakitangan dibuai mimpi untuk berjumpa tuan puteri pada keesokan hari.Selesai sudah menunaikan subuh, penyediaan sarapan pagi yang ala kadar dibekalkan untuk pendakian.

Pendakian pertama bermula agak lewat ke CP 1 akibat salah faham antara Jurupandu dengan pihak kami, namun itu tidak melemahkan semangat untuk memulakan pendakian.Terkejut gila kita orang mendengarkan pendakian harian akan memakan masa lebih kurang 12 jam. Selesai doa selamat oleh Abang Zamri, pendakian membawa kegemilangan Cruise Tasik Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya diteruskan juga.

Pendakian kami di pandu oleh Jurupandu Taman Negara Johor, Sham.

Pendakian amat merangsangkan dan berterusan ke CP 5 dan Gua Kambing di CP 6. Setibanya di Batu Hampar, Wan mengalami kekejangan otot yang menyebabkan perjalanan terus menjadi perlahan. Berbekalkan kursus yang diberi sejak awal lagi, Wan diberi rawatan balutan oleh peserta yang lain dan ia mampu untuk terus sampai ke puncak.Kagum kami pada sepanjang laluan Taman Bonsai yang amat cantik sekali, Bukit Botak terus menerus menguji kami.

Azan terus dilaungkan oleh Saudara Hamid sebagai menjiwai kebesaran Yang Maha Besar apabila menjejak kaki ke puncak lebih kurang jam 3.45 petang.Pendakian turun amat meletihkan memandangkan bekalan makanan amatlah terhad dan kesabaran kami terus teruji dengan perjalanan Shikin yang banyak memperlahankan penurunan kami.

Penurunan kami terus teruji memandangkan hari semakin gelap dan tidak berbekalkan lampu suloh, namun lighter dan handphone menjadi penerang jalan sehingga ke kaki Gunong Ledang untuk menjamu hidangan burger, durian dan minuman isotonik. Bayangkan menuruni Ledang hanya dengan punca handphone!!Shikin merupakan peserta terakhir menjejak kaki pada jam 9.45 malam. Perjalanan kami diteruskan ke Putrajaya dengan membawa seribu kenangan.

Terima kasih tidak terhingga kepada Jurupandu Sham yang tabah dalam memperjuangkan tanggungjawabnya menjaga keselamatan kami.

Banyak yang hendak diceritakan pada Kumpulan B nanti pada keesokan harinya kat Cruise Tasik Putrajaya.

No comments: